WASHINGTON - Neil Armstrong, yang mencatatkan sejarah sebagai
manusia pertama berjalan di bulan iaitu pada 1969, meninggal dunia
semalam.
Mendiang berusia 82 tahun.
Armstrong meninggal dunia susulan komplikasi dialaminya selepas
menjalani pembedahan pintasan jantung awal bulan ini, kata keluarganya
menerusi satu kenyataan.
Kenyataan itu tidak memberi butiran masa dan tempat mendiang meninggal dunia.
Pembedahan itu dijalankan dua hari selepas beliau menyambut ulang tahun hari jadinya pada 5 Ogos lalu.
Selaku komander misi Apollo 11, Armstrong muncul sebagai orang pertama
berjalan di bulan iaitu pada 20 Julai 1969. Ketika itu mendiang berusia
38 tahun. Detik Armstrong mendarat di bulan telah ditonton oleh lebih
500 orang.
November lalu, beliau menerima Pingat Emas Kongres Amerika Syarikat
(AS), pingat tertinggi yang diberikan kepada orang awam di negaranya.
Armstrong dan rakannya, Edwin 'Buzz' menghabiskan masa kira-kira tiga
jam berjalan di bulan dengan mengumpulkan sampel, menjalankan ujian dan
merakamkan foto. Seorang lagi angkasawan menyertai misi 1969 ialah
Michael Collins
Apollo 11 merupakan misi angkasa lepas terakhir bagi Armstrong.
Pada 1971, Armstrong, yang lahir di Ohio pada 1930, meninggalkan agensi
angkasa lepas AS, Nasa untuk mengajar kejuruteraan angkasa lepas.
Armstrong pernah mengendalikan jet pejuang ketika Perang Korea pada
1950-an dan kemudian menyertai program angkasa lepas AS pada 1962.
Armstrong menyertai dua penerbangan ke angkasa lepas. Perjalanan pertama
pada 1966, yang beliau bertindak sebagai komander misi Gemini 8,
hampir-hampir berakhir dengan tragedi. Beliau berjaya mengembalikan
pesawat angkasa lepas dengan selamat walaupun komponen penolakan roket
mengalami kerosakan.
Perjalanan kedua pada Julai 1969, bersama Aldrin dan Collins, mengambil masa empat hari untuk tiba di destinasi.
Collins menyifatkan telah kehilangan seorang pengendali pesawat yang terbaik.
KERALA: Seorang wanita yang melarikan diri dari bandar raya ini
diburu polis selepas meninggalkan setiap lelaki yang dikahwininya.
Shahanaz, 33, dipercayai berkahwin dengan puluhan lelaki sejak beberapa
tahun lalu. Walaupun sesetengah laporan mendakwa dia ‘berkahwin’ lebih
50 kali, pihak berkuasa berkata hanya 15 lelaki yang tampil membuat
laporan.
Shahanaz pertama kali berkahwin kira-kira 11 tahun lalu dengan seorang lelaki bernama Siddique dan mempunyai seorang anak.
Bagaimanapun, berita mengenai perkahwinannya hanya terbongkar apabila
dua daripada suaminya tampil di balai polis Chennai dan aduan susulan
dibuat oleh beberapa mangsa lagi.
Keseluruhannya tujuh aduan rasmi sudah dibuat terhadapnya, tetapi tidak mustahil lebih ramai lagi mangsa yang akan muncul.
Aduan pertama dibuat oleh Manikandan, 24, yang bekerja di bilik pameran kedai kereta.
Shahanaz memberitahunya dia mencari lelaki yang menipu kawannya selepas berjanji untuk mengahwininya.
Menurut akhbar Indian Express, mereka banyak kali bercakap di telefon dan kemudian menjadi rapat.
Shahanaz memberitahunya dia anak yatim sejak kecil dan mendakwa bekerja
sebagai peguam bela di mahkamah tinggi Madras. Dia juga memberitahu
sedang belajar untuk menduduki peperiksaan perkhidmatan awam.
Mereka berkahwin April lalu tanpa restu ibu bapa Manikandan.
Dua bulan kemudian, Shahanaz meyakinkan Manikandan dia perlu tinggal di
asrama supaya dapat bersedia untuk menduduki peperiksaan.
Manikandan mendakwa dia menjual barang kemas yang dibeli untuk
perkahwinan mereka untuk digunakan Shahanaz. Dua minggu kemudian,
Shahanaz hilang dari asrama dan tidak dapat dikesan.
Ketika polis mula menyiasat kes itu, seorang lagi lelaki, Prasanna,
pemain bola sepak daerah tampil mengatakan dia juga berkahwin dengan
Shahanaz beberapa tahun lalu.
Polis kini mendapati Shahanaz turut berkahwin dengan orang lain termasuk Rajesh, Chandrababu dan Saravanan. - DM
GEORGETOWN: Terpengaruh dengan tipu helah seorang lelaki
kononnya dia memenangi loteri RM1.2 juta, seorang suami tergamak
mengkhianati isterinya dengan mencuri pelbagai jenis deposit tetap serta
barang kemas bernilai hampir RM900,000 bagi membayar wang pengurusan,
derma serta membeli beras dan kertas azimat sebelum boleh menerima
hadiah loteri berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner
Mazlan Kesah berkata, seorang wanita dari Balik Pulau berusia 60-an
membuat laporan polis pada 19 Ogos lalu, mengenai kehilangan lapan
keping dokumen deposit tetap CIMB Bank dan Maybank bernilai RM800,000
serta barang kemasnya bernilai RM100,000.
Menurutnya, siasatan kemudian mendapati suami mangsa yang berusia 60-an,
disyaki mengambil dokumen serta barang kemas berkenaan tanpa
pengetahuan isterinya.
Katanya, polis menahan suami wanita itu dan selepas disoal siasat, dia mengaku mengambil semua barangan berkenaan.
Shahril menunjukan alat pengesan SchoolTrac bagi atasi kes ponteng.
SchoolTrac kesan pergerakan pelajar
Sekolah dan ibu bapa kini tidak perlu bimbang pelajar ponteng sekolah
jika menggunakan produk Schooltrac yang akan mengirim maklumat
pergerakan murid dan anak mereka menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS)
atau e-mel.
Menerusi sistem itu, murid akan dibekalkan dengan kad pelajar
SchoolTrac menggunakan frekuensi radio yang mampu mengesan pergerakan
keluar masuk murid melalui pagar sekolah ketika waktu persekolahan.
Sistem dalam talian
Kad Schooltrac mengandungi cip dan disambungkan serta dipantau terus ke
pusat data sekolah untuk memaklumkan guru dan penjaga mengenai status
kehadiran pelajar menerusi emel atau SMS.
Produk itu diperkenalkan di negara ini oleh sebuah syarikat teknologi
maklumat (IT) tempatan, ABRA Corp Sdn Bhd yang menggunakan sistem dalam
talian. Ia dapat memantau status kehadiran pelajar,selain merekodkan
kehadiran pelajar di sekolah.
Pengarah Projek ABRA Corp, Mohd Shahril Mahmud, berkata ibu bapa
akan menerima SMS atau e-mel daripada pusat data setiap kali pelajar
memasuki atau keluar dari sekolah pada masa sebenar dalam tempoh satu
atau dua saat.
Katanya, ibu bapa hanya perlu membayar yuran bulanan RM10 bagi
mendapatkan perkhidmatan itu di sekolah yang melanggan aplikasi
berkenaan.
Setakat ini, 20 sekolah sekitar Lembah Klang bekerjasama dengan ABRA Corp untuk menggunakan peranti SchoolTrac.
“SchoolTrac juga alat yang boleh mengurangkan penggunaan kertas
kerana semua maklumat kehadiran dicatatkan secara automatik dalam
komputer menerusi pancaran sistem produk berkenaan.
“Ia menggunakan teknologi Korea tetapi penyelidikan dan pembangunan
(R&D) dilaksanakan di Malaysia oleh ABRA Corp sendiri,” katanya.
Mohd Shahril berkata, pada masa ini pihaknya sedang berunding dengan
Kementerian Pelajaran untuk menggunakan SchoolTrac di semua sekolah di
seluruh negara.
“Kami mengharapkan SchoolTrac akan terus berkembang menerusi kerjasama dengan kementerian,” katanya.
ABRA Corp menetapkan sasaran langganan di sebanyak 200 sekolah di Lembah Klang dalam tempoh setahun.
NEW YORK : Seorang penjaga bangunan Universiti Columbia, Gac Filipaj merupakan antara pelajar cemerlang pusat pengajian tinggi itu.
Filipaj
berusia 52 tahun dan dia bekerja membersihkan lantai, mengosongkan tong
sampah dan membersihkan tandas di universiti tersebut di sini.
Kelmarin, dia berasa bangga kerana menerima ijazah sarjana muda dengan kepujian dalam majlis konvokesyen universiti itu.
Filipaj belajar selama 12 tahun dalam pengajian klasik sambil bekerja sepenuh masa sebagai penjaga bangunan.
Pada
awalnya, dia mempelajari bahasa Inggeris selepas melarikan diri
daripada perang saudara di negara kelahirannya, Yugoslavia pada tahun
1992.
Berasal daripada etnik Albania, dia berhijrah ke Amerika Syarikat kerana bimbang akan dipaksa menyertai tentera Serbia.
Selepas mendapat ijazah, Filipaj kembali bertugas sebagai penjaga bangunan di universiti berkenaan. Namun, dia berharap akan mendapat pekerjaan yang lebih baik dan seterusnya menyambung pelajaran ke peringkat sarjana.
Penjaga bangunan tersebut masih menghantar wang kepada keluarganya yang bekerja di sebuah ladang di Montenegro. – Agensi
JAKARTA : Polis Indonesia semalam enggan membenarkan penyanyi terkenal, Lady Gaga mengadakan persembahan di sini.
Keputusan
itu dibuat selepas beberapa kumpulan Islam berikrar untuk menggerakkan
ribuan penyokong masing-masing untuk menghalang konsert tersebut.
Menurut
jurucakap Polis Nasional Indonesia, Saud Usman Nasution, konsert Lady
Gaga yang dijadualkan diadakan pada 3 Jun depan akan dibatalkan.
“Kami tidak akan mengeluarkan permit untuk konsert Lady Gaga di Jakarta,” katanya. Sebelum
ini Barisan Pertahanan Islam (BPI) melancarkan bantahan di Jakarta yang
berikrar menghalang penyanyi itu menjejakkan kaki di sini.
“Kami amat gembira apabila polis menghalang pemusnah moral itu (Lady Gaga) daripada datang ke negara ini.
“Sudah tentu kami menentangnya, dia hanya memakai seluar dalam dan coli,” kata Pengerusi BPI Jakarta, Habib Salim Alatas.
Menurut Habib, Lady Gaga amat berbahaya kepada generasi muda Indonesia kerana dia pernah menyatakan dirinya utusan syaitan.
Pasukan
Pembela Muslim juga pernah mendesak polis supaya membatalkan konsert
itu bagi mengelak konflik antara kumpulan Islam dengan para peminat Lady
Gaga.
Para
peminat penyanyi penyanyi tersebut mewujudkan akaun #IndonesiaSavesGaga
di laman Twitter bagi meminta polis menarik kembali keputusan tersebut.
Penganjur konsert itu, Big Daddy Productions sudah menjual lebih 50,000 tiket.
Namun, ia enggan mengesahkan sama ada konsert Born This Way Ball itu telah dibatalkan secara rasmi. Penyanyi itu dijadualkan membuat persembahan di Stadium Gelora Bung Karno.
Seorang pemegang tiket itu, Mariska Renata menyatakan dia berasa amat kecewa tentang pekembangan tersebut.
“Kami telah matang untuk memezakan antara nilai-niali moral dengan seni dan budaya,” katanya. Konsert Lady Gaga di Asia bermula sejak bulan lalu.
Sementara itu, penyanyi tersebut melawat menara Tokyo Sky Tree setinggi 634 meter di Tokyo, Jepun semalam. – Agensi
LOS ANGELES : Filem
The Avengers memperoleh kutipan pecah panggung lebih AS$1 bilion
(RM3.08 bilion) di seluruh dunia, kata beberapa pegawai kelmarin.
Menurut laman industri IMDb, filem tersebut memperoleh kutipan sebanyak AS$$1,002,082 (RM3,083,406). Menurut
agensi Exhibitor Relations yang mengumpulkan jumlah kutipan tiket,
filem tersebut mengutip sebanyak AS$207 juta (RM638.3 juta) pada
tayangan pembukaan dua minggu lalu menambah kutipan sebanyak AS$103.1
juta (RM317.8 juta) pada hujung minggu lepas di Amerika Utara.
Filem
arahan Joss Whedon dengan kerjasama pengeluar komik terkenal, Marvel
itu diadaptasi daripada komik bersiri paling popular, The Avengers.
Ia
mengisahkan watak Iron Man, The Incredible Hulk, Thor, Captain America,
Hawkeye dan Black Widow mengalahkan kuasa jahat yang diketuai oleh
Loki. – AFP