Minggu Saham Amanah Malaysia 2012 – Kota Kinabalu Sabah
Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) merupakan
nama yang tidak asing lagi bagi masyarakat Malaysia. Sepanjang 12 tahun
penganjurannya, agenda tahunan negara ini telah berjaya meraih
penyertaan lebih 2.0 juta pengunjung daripada pelbagai lapisan
masyarakat.
Idea mengadakan MSAM secara tahunan adalah
berikutan kejayaan penganjuran Minggu Pelaburan Bersama PNB pada tahun
1999. Sejak diperkenalkan pada 20 April 2000 di Pusat Dagangan Dunia
Putra (PWTC), Kuala Lumpur, dengan catatan 60,000 pengunjung, MSAM telah
menjelajah ke beberapa buah negeri, iaitu di Kota Bharu, Kelantan (2001
– 190,000 pengunjung), di Alor Star, Kedah (2002 – 160,000 pengunjung),
di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur (2003 – 85,000 pengunjung), Kepala
Batas, Pulau Pinang (2004 – 200,000 pengunjung), Seremban, Negeri
Sembilan (2005 – 155,000 pengunjung), Kuala Terengganu, Terengganu
(2006 – 250,000 pengunjung), Kuantan, Pahang (2007 – 202,000
pengunjung), Ayer Keroh, Melaka (2008 – 249,000 pengunjung), Johor
Bahru, Johor (2009 – 156,000 pengunjung), Kuching, Sarawak (2010 –
187,000 pengunjung) dan Ipoh, Perak (2011 – 177,000 pengunjung).
Tahun ini merupakan penganjuran MSAM kali
Ke-13. Buat kali kedua, MSAM akan melebarkan sayap ke Malaysia Timur.
Kali ini untuk bertemu pula dengan masyarakat Sabah. MSAM 2012 yang
mengekalkan tema "Pelaburan Untuk 1Malaysia" akan berlangsung di
Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Sabah bermula 20 April hingga 28 April
2012.
MSAM 2012 bakal dirasmikan oleh Yang Amat
Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia
pada 20 April 2012.
Syarikat-syarikat Kumpulan PNB termasuk
Malayan Banking Berhad, Sime Darby Berhad, I & P Group Sdn Berhad,
UMW Holdings Berhad, Chemical Company of Malaysia Berhad, Malaysian
Industrial Development Finance Berhad, MNRB Holdings Berhad, NCB
Holdings Berhad, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd, Projek Lintasan Kota
Holdings Sdn Bhd, Pernec Corporation Berhad dan Takaful IKHLAS Sdn Bhd
meneruskan sokongan padu mereka bagi menjayakan MSAM kali ini dengan
mempamerkan aktiviti perniagaan mereka di samping mengadakan pelbagai
aktiviti lain untuk para pengunjung Sabah.
Tahun ini, MSAM akan disertai oleh 50 peserta
pameran. Selain daripada syarikat-syarikat strategik PNB ini, MSAM juga
akan mempamerkan aktiviti-aktiviti oleh syarikat-syarikat pelaburan PNB
yang lain, badan-badan kawal selia daripada agensi-agensi Kerajaan
seperti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia,
Lembaga Hasil Dalam Negeri dan juga ejen-ejen unit amanah PNB melalui
kira-kira 196 gerai pameran.
Pelbagai aktiviti menarik turut dianjurkan
tahun ini termasuk program anjuran bersama rakan-rakan korporat MSAM
2012 yang terdiri daripada Sime Darby Rhino Walk, Maybank Mewarnai
Duniaku, CCM Inter School Showdown, Sembang-sembang Pelaburan UMW, UMW
Cinema & Studio, UMW Reality Talk Show, I&P Jejak Pelabur Cilik,
Perodua Investment Race, NCB Jejak Pelabur Bijak, MNRB Ringgit Savvy,
Forum Perdana Hal Ehwal Islam dan Pertandingan Bicara Berirama tajaan
Takaful Ikhlas.
Selain itu, MSAM juga dimeriahkan dengan
aktiviti Cabaran Pengurusan Kewangan ASNB, Ikon Inspirasi yang
menampilkan tokoh-tokoh terbilang dalam pelbagai industri, Hibur &
Lawak Labur serta pelbagai aktivit lain.
Pelbagai peraduan juga dianjurkan antaranya
e-peraduan yang menawarkan hadiah lumayan berbentuk sebuah kereta Ford
Fiesta 1.6l Sport Ti-VCTm, sebuah Toyota Hilux 2.5G, sebuah Perodua Myvi
1.5 (A), 15 buah motorsikal, I 6 unit notebook, 11 unit iPad 2, 45 unit
Samsung Galaxy Tab 10.1 dan 41 unit Samsung Galaxy Tab 8.9 serta 300
buah hamper.
Objektif utama penganjuran MSAM ini adalah
untuk menyalurkan sebanyak mungkin maklumat tentang pelaburan dan
perancangan kewangan kepada rakyat Malaysia supaya mereka bijak mengurus
kewangan mereka. Dalam erti kata lain, MSAM dianjurkan untuk melahirkan
lebih ramai PELABUR BIJAK di kalangan rakyat Malaysia.
Di samping itu, para pengunjung berpeluang
mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti berkonsepkan hibur didik yang
diadakan setiap hari sepanjang berlangsungnya MSAM. Menariknya,
aktiviti-aktiviti yang diadakan turut menawarkan pelbagai hadiah untuk
dimenangi setiap hari.
Jangan lepaskan peluang ini. Kunjungilah MSAM 2012!
BAH... JOM! KITA PIGI RAMAI-RAMAI ke Pameran MSAM 2012.